Link Al-Quran Explorer!

Quran Explorer - Interactive Audio Recitations & Translations

Monday, October 4, 2010

Indahnya menjadi tetamu Allah :)

" Laksanakanlah Ibadat Haji Dan Umrah
Ikhlas Kerana ALLAH. "


SABDA RASULULLAH :
 

" Barangsiapa keluar ( dari rumahnya ) untuk menunaikan Haji tiba-tiba ia meninggal dunia di dalam perjalanannya, maka dituliskan baginya ganjaran pahala Haji sehingga ke Hari Qiamat dan barangsiapa keluar ( dari rumahnya ) untuk menunaikan Umrah tiba-tiba ia meninggal dunia di dalam perjalanannya, maka dituliskan baginya ganjaran pahala Umrah sehinggalah ke Hari Qiamat dan barangsiapa keluar ( dari rumahnya ) untuk berjuang di jalan Allah dan ia meninggal dunia di dalam perjalanannya, maka dituliskan baginya ganjaran pahala orang Mujahid sehinggalah ke Hari Qiamat "
( Hadis diriwayat oleh Abu Ya'ala daripada Abu Hurairah )


AMALAN IBADAT HAJI 

ALLAH telah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat dengan mengunjungi Baitullahil Haram kepada yang mampu dan berkuasa.

Barangsiapa yang mempunyai bekalan dan kenderaan untuk sampai ke Baitullah, tetapi tidak mahu menunaikan haji sehingga ia mati, maka tidak ada sebab yang tidak boleh dimatikan sebagai Nasrani atau Yahudi.

Ini menunjukkan betapa besarnya penekanan kefardhuan haji kepada setiap individu muslim yang telah cukup syarat-syaratnya. Jumhur ulama sepakat kewajipan ini dan jadi kufur orang yang ingkar kewajipan mengerjakannya.

Perlaksanaan ibadat haji secara ritualnya mampu mensucikan sifat-sifat seseorang hamba Allah daripada sifat-sifat yang tercela kepada sifat-sifat terpuji. Sabda Rasulullah s.a.w: " Sesiapa yang menunaikan fardhu Haji dengan tidak melakukan rafath ( persetubuhan ) dan tidak berbuat fasiq ( kejahatan ) maka kembalilah ia sebagai mana bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya dan sesungguhnya ibadat haji yang mabrur tidak ada balasannya melainkan syurga ". 

Ketika berihram, jemaah wajib meninggalkan 13 larangan bertujuan mengawal hawa nafsu dan keinginan bersifat haiwani yang bersarang di dalam diri. Larangan itu terbahagi kepada tiga kategori iaitu mengawal jiwa supaya tidak terpesona dengan keindahan duniawi, mengawal nafsu seksual dan mengharmonikan alam sekitar ciptaan tuhan. 

Sepanjang berihram, jemaah dilarang memakai wangi-wangian, pakaian bersarung, menutup kepala dan muka, memakai minyak rambut, mengerat kuku dan rambut atau bulu, serta bersarung tangan. Larangan itu adalah simbolik betapa manusia sama taraf di sisi Allah tidak kira raja, rakyat jelata, miskin atau kaya, berpangkat atau sebaliknya, semuanya sama-sama berihram serupa, sama-sama mengabdikan diri kepada Allah swt. Faktor pembeda bukan kecantikan paras, pangkat, darjat atau kekayaan, tetapi tahap ketakwaan.


Semasa berihram juga, jemaah haji dilarang memotong, menebang, mengerat atau mencabut tumbuhan. Begitu juga memburu binatang buruan yang halal dimakan, apatah lagi membinasakannya. Larangan itu, antara lain, adalah simbolik untuk mendidik jemaah haji supaya melestari alam sekitar sebagai Kitab Tersirat yang menyerlahkan keagungan Tuhan Maha Bijaksana.
 
Perjalanan ritual penuh simbolik kemuncak ibadah Haji bermula dari Makkah ke Arafah, Arafah ke Muzdalifah dan seterusnya ke Mina akhirnya kembali semula ke Makkah. Sepanjang perjalanan itu, jemaah haji sentiasa berzikir dan bertalbiah membesarkan Tuhan Pencipta Alam . Perjalanan getir ini seringkali menguji kesabaran dan ketahanan jemaah haji, menyedarkan kita betapa kerdil dan lemahnya manusia untuk mengharungi ujian dan azab yang jauh lebih perit ketika berada di Padang Mahsyar nanti.
 
Selain itu, amalan tawaf di Kaabah pula menyamai amalan para malaikat yang sentiasa taat mengerjakan tawaf di arasy Allah, Baitul Makmur. Sesungguhnya amalan ini adalah amalan terpuji yang menjadi rutin para malaikat Allah yang suci daripada segala dosa dan kesalahan. Amalan tawaf juga turut menyamai kepatuhan cakerawala ciptaan Allah di langit mengelilingi matahari tanpa henti.

Secara ringkasnya, ini merupakan sebahagian rahsia tersirat yang terkandung di dalam ibadat haji. Jemaah haji adalah hamba-hamba Allah yang bertuah, insan-insan terpilih untuk menjadi Tetamu Allah, Pencipta bagi sekelian makluk. Lantaran itu, jemaah haji sepatutnya menjaga adad-adab bertamu, sesuai dengan kedudukannya sebagai tetamu Allah Yang Maha Agung, Tuhan yang memerintah seluruh alam Semesta.
Jemaah haji juga perlu sedar bahawa tujuan yang hakiki daripada perlaksanaan ibadat Haji itu adalah untuk memperkukuhkan hubungan dengan Allah s.w.t dan untuk menghilangkan kecintaan melampau terhadap perkara-perkara keduniaan yang boleh merosakkan iman.
Wallahu a'lam.



No comments:

Post a Comment