KETIKA pemerintahan Harun Al-Rashid sebagai khalifah kerajaan Bani Abbasiyah, Imam Shafie dilantik menjadi urus setia kepada wakil Yaman.
Khalifah Harun Al-Rashid melantik Imam Al-Shafie memegang jawatan itu berdasarkan kecerdasan dan kepintarannya yang luar biasa.
Penduduk Yaman gembira dan mengalu-alukan kehadiran imam yang alim itu. Setiap hari ramai pegawai belajar dan meminta fatwa beliau di luar waktu kerja.
Menjadi lumrah, walaupun ramai yang menyayangi Imam Shafie, ada juga yang membenci dan iri hati kepada beliau.
Mereka sentiasa mencari helah menyingkirkan Imam Shafie dari kota Yaman. Ketika itu puak Syiah sedang berkembang dan berkomplot untuk menumbangkan kerajaan Bani Abbasiyah di Yaman.
Kesempatan ini digunakan oleh orang yang dengki kepada Imam Shafie dengan melaporkan kepada Khalifah Harun Al-Rashid bahawa beliau juga termasuk salah satu pemimpin puak Syiah di Yaman yang mengaturkan pemberontakan.
Hasutan itu berhasil kerana Khalifah Harun Al-Rashid mengirim sepasukan polis untuk menangkap pemberontak, termasuk Imam Shafie.
Apabila pasukan polis itu sampai di Yaman, mereka terus menangkap orang yang dituduh tanpa soal siasat. Hal ini kerana perintah itu datangnya dari istana. Mereka, termasuklah Imam Syafie yang ditangkap dengan tangan dan kakinya digari.
Tahanan diarak dari Yaman ke Baghdad. Pelbagai penderitaan dialami mereka dalam perjalanan yang jauh itu. Bagi Imam Shafie, beliau tabah menghadapi ujian itu kerana yakin tidak bersalah.
Semua itu cuma fitnah belaka. Sepanjang perjalanan beliau tidak henti berzikir kepada Allah.
Apabila sampai di kota Baghdad, mereka dibawa menghadap Khalifah Harun Al-Rashid tanpa memberi peluang berehat atau tidur seketika selepas melalui perjalanan yang sangat jauh.
Sebelum dipanggil, mereka dibebankan dengan dugaan yang berat iaitu kaki dan tangan digantung dengan besi. Maka, mereka tidak dapat berdiri dan berjalan merangkak-rangkak apabila dipanggil.
Persidangan bermula dengan orang yang pertama dipanggil. Dia ditendang oleh petugas hingga merangkak menghadap khalifah.
Mereka yang dikatakan pemberontak dipanggil seorang demi seorang dan dihukum pancung. Mereka yang didakwa gelisah dan tahu mereka juga akan mati seperti orang sebelumnya.
Imam Shafie saja yang tidak sedikit pun gelisah. Beliau tenang saja, seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku terhadap dirinya. Beliau terus berzikir kepada Allah. Kelakuannya menyebabkan setiap pegawai curiga kerana sikapnya berlainan sekali.
Apabila nama Imam Shafie dipanggil, beliau juga diperlakukan seperti orang lain. Beliau ditengking. Kemudian merangkaklah beliau ke tempat persidangan. Apabila sampai di hadapan khalifah beliau memberi salam.
Khalifah hairan bercampur marah kerana inilah pertama kalinya bertemu dengan orang yang didakwa memberi salam. Dengan terpaksa khalifah membalas salamnya.
Beliau berkata: “Wahai Muhamad bin Idris (nama sebenar Imam Syafie), kamu telah melakukan perkara sunnah yang tidak diperintahkan dalam majlis di sini yang menyebabkan aku wajib menjawabnya. Mengapa kamu berani bercakap tanpa kebenaranku?”
Imam Shafie berkata: “Wahai khalifah, sesungguhnya Allah telah berfirman: ‘Allah menjanjikan buat orang beriman antara kamu semua dan orang yang berbuat kebajikan akan menjadikan mereka itu khalifah di muka bumi ini, seperti Dia akan menetapkan bagi mereka itu agama-Nya yang disukai-Nya dan Dia akan menggantikan keamanan kepada mereka itu sesudah mereka itu ketakutan’.”
Khalifah yang suka kepada ilmu pengetahuan seronok mendengar hujah Imam Shafie. Baginda bertanya lagi: “Apakah maksudmu berhubung dengan tindakanmu itu?”
Imam Shafie berkata: “Apabila Allah itu berjanji tentu Dia akan menepati janji-Nya dan kini dia telah menetapkan tuanku menjadi khalifah di muka bumi-Nya. Tuanku telah mendatangkan keamanan pada diri saya selepas saya ketakutan melalui jawapan tuanku (iaitu dari jawapan salam Harun Al-Rashid). Dengan demikian baginda telah memberikan rahmat Allah dengan kemurahan tuanku kepada saya, ya Amirul Mukminin.”
Khalifah Harun Al-Rashid tidak membantah alasan Imam Shafie itu. Baginda memang menyedari dirinya dikalahkan oleh kecerdikan Imam Shafie. Pada hakikatnya baginda telah memberikan pengampunan kepada Imam Shafie melalui jawapan salam.
Untuk menutupi kekalahannya Khalifah Harun bertanya: “Hah, sekarang hujah apa yang akan kamu gunakan untuk menolak segala tuduhan ke atas dirimu?
“Aku dengar engkaulah yang mengetuai satu pakatan untuk memberontak kepada kerajaan ini atas nama sahabatmu Abdullah bin Hasan.”
Dakwaan itu dijawab dengan bijak oleh Imam Shafie. Katanya: “Tuanku yang mulia telah mengatakan apa-apa yang terlintas di hati tuanku, kini saya pula akan mengatakan perasaan saya untuk mencari keadilan dan keinsafan.
“Tetapi sayang, saya tidak mungkin dapat mengeluarkan perasaan saya dengan selesa selama badan saya masih diikat dan digantung dengan besi berat ini.
“Oleh itu saya memohon agar rantai ini dibuka terlebih dulu. Dengan demikian saya akan dapat bercakap dengan tenang dan tepat. Allah Maha Kaya dan Maha Terpuji.”
Khalifah berkata: “Segera lepaskan rantai di kaki orang ini.” Pengawal segera membuka rantai dan dengan menarik nafas lega Imam Shafie duduk dengan tenang, kemudian beliau berkata: “Wahai khalifah, wahai Amirul Mukminin, Allah telah berfirman: “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepadamu orang yang derhaka (fasik) dengan membawa berita, maka hendaklah kamu siasat dahulu kesahihan berita itu.“
Sebaik mendengar ucapan itu, khalifah tersedar kesilapan yang dilakukannya, tetapi baginda masih berdiam diri.
Imam Shafie berkata lagi: “Wahai khalifah, saya ingat tuduhan pada saya ini sangat tidak berasas. Orang yang membawa berita telah berdusta kepadamu.
“Mereka hanya dengki kepada saya. Sesungguhnya saya ini orang yang menjaga kehormatan Islam dan bangsa.
“Saya ingat, cukuplah setakat dua perkara ini menjadi jalan dan perantaraan bagi tuanku untuk mengambil tindakan yang benar. Tuanku lebih berhak memegang kitab Allah kerana tuanku adalah putera bapa saudara Rasulullah yang sangat kuat membela agamanya dan mempertahankan pendiriannya sepanjang menjadi pimpinan daripada Allah.”
Khalifah kelihatan gembira apabila mendengar penjelasan daripada Imam Shafie. Baginda berkata: “Kini kau bebas daripada semua tuduhan. Mulai hari ini kau boleh bergembira dan lenyapkanlah semua kegelisahanmu. Kami mesti memelihara hak kekeluargaanmu dan menghargai ketinggian ilmumu.”
Imam Shafie bebas daripada hukuman pancung. Segala tuduhan adalah kerana dengki semata-mata. Oleh sebab kebijaksanaannya, beliau dapat mengalahkan hujah Khalifah Harun Al-Rashid.
Setelah Imam Shafie dibebaskan, beliau diletakkan di tempat yang sewajarnya oleh khalifah. Baginda sentiasa meminta pandangan, nasihat dan fatwa beliau. Khalifah dan pembesarnya menangis sepuas-puas hatinya apabila mendengar nasihat Imam Shafie.
Akhirnya majlis itu menjadi satu majlis penyesalan. Khalifah dan pembesarnya menangis kerana Imam Shafie memberi nasihat, pandangan dan marah kepada mereka kerana cuai dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.
Khalifah Harun berkata: “Saya telah mengarahkan seorang pembesar untuk menyampaikan hadiah wang sebanyak 2,000 dinar untuk kau, Shafie.”
Imam Shafie berkata: “Tidak, sesekali tidak, ya Amirul Mukminin. Jangan begitu, Allah tidak menghendaki yang demikian pada diri saya.
“Kalau saya terima juga hadiah ini, maka akan menjadi gelaplah semua nasihat tadi.”
Ketika itu juga Imam Shafie memohon keluar dari majlis itu. Kemudian, beliau datang lagi ke istana kerajaan dan menghadap Khalifah Harun Al-Rashid.
Kali ini, khalifah memberikan hadiah 1,000 dinar dan beliau pun menerimanya serta mendoakan kesejahteraan baginda.
Khalifah berkata: “Engkau memang betul-betul bijak, semoga Allah memusnahkan musuh-musuh engkau dan selamatkan engkau daripada bahaya.”
Sewaktu Imam Shafie keluar istana, seorang pegawai yang bernama Siraj mengekorinya kerana ingin tahu apa yang akan dibuatnya dengan wang sebanyak itu.
Siraj terkejut apabila Imam Shafie membahagikan wang itu kepada pegawai kerajaan yang sedang bekerja di sekitar istana. Ketika beliau hendak melangkah keluar dari kawasan pentadbiran negara, duit tinggal sedikit saja.
Tiba-tiba beliau tertoleh ke belakang dan terlihat Siraj yang sejak tadi memperhatikan gelagatnya. Pada waktu itu juga baki duit yang masih ada di tangannya diberikan kepada Siraj.
Imam Shafie tidak mengambil sesen pun duit hadiah itu. Lantas Siraj kembali ke istana dan memberitahu kepada khalifah.
No comments:
Post a Comment